MANCHESTER – Legenda Manchester United, Ryan Giggs menggesa bekas kelabnya itu supaya tidak terlalu membuat pertimbangan sulit, sebaliknya pergi dan dapatkan pemain tengah Crystal Palace, Adam Wharton.
United akan memasuki pasaran perpindahan musim panas nanti dengan misi mendapatkan sekurang-kurangnya satu pemain tengah baru selepas Casemiro sah bakal meninggalkan Old Trafford hujung musim ini.
Giggs percaya Wharton yang memiliki nilai perpindahan £70 juta (RM371.62 juta) perlu dijadikan keutamaan apabila menganggap pemain itu memiliki ‘material’ untuk menjadi pemain United.
“Benda pertama adalah kelab perlu selesaikan isu bersama pemain yang dipinjamkan, (Marcus) Rashford, (Jadon) Sancho dan Rasmus (Hojlund). Kemudian perlu membawa masuk pemain tengah, saya lihat keperluannya mungkin dua pemain.
“Mainoo akan kekal, Casemiro bakal pergi, begitu juga dengan (Manuel) Ugarte dan kita perlu kuatkan bahagian tengah. Ia tidak boleh dijadikan pertaruhan, mesti dapatkan pemain yang baik di posisi berkenaan.
“Saya sentiasa gemarkan pemain berkaki kiri, jadi saya tidak akan menghalang jika mereka meminati Wharton. Saya fikir dia adalah pemain yang sepatutnya berada di United. Dia mampu mengawal bola, melakukan hantaran, kemudian berlari dan memiliki pengalaman di Liga Perdana Inggeris,” jelasnya.
Giggs juga menggesa pihak pengurusan untuk memberikan kontrak tetap buat Carrick dan tidak melihat Luis Enrique, Julian Nagelsmann atau Oliver Glasner sebagai alternatif yang lebih baik. – AGENSI














