PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) terus mencetuskan transformasi besar dalam pelbagai sektor global termasuk industri kesihatan, pembuatan dan perkhidmatan.
Digunakan dalam sistem pengenalan biometrik, kaedah baharu itu menggunakan ciri-ciri wajah pelancong bagi menggantikan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.
Sebagai hab udara terbesar di negara itu, proses pengenalan penumpang yang cepat dan cekap amat diperlukan bagi melancarkan perjalanan, sekali gus tidak perlu menunggu terlalu lama.
Menurut Presiden Incheon International Airport Corporation (IIAC), Lee Hag-jae, perkhidmatan yang digelarkan sebagai Smart Pass (Pas Pintar) membolehkan identiti penumpang dikenal pasti dengan lebih cepat.
Alat tersebut ditempatkan di pintu berlepas dan ketika menaiki pesawat di lapangan yang membolehkan penumpang tidak perlu menunjukkan pasport atau pas menaiki pesawat mereka.
“Kami mengharapkan pengenalan perkhidmatan Pas Pintar sebagai pilihan tepat bagi membantu mengurangkan kesesakan di lapangan terbang terutama ketika waktu puncak atau ketika cuti musim panas.
“Kemudahan teknologi canggih ini menjadi medium baharu diperkenalkan kepada penumpang dan kami sentiasa akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang,” katanya memetik laporan The Korea Times.
Mula diperkenalkan sekitar 2023, sistem Pas Pintar difahamkan digunakan oleh 11 buah syarikat penerbangan yang mendapat pensijilan menggunakan teknologi tersebut.
Antara syarikat yang dibenarkan di Terminal 1 ialah Asiana Airlines, Jeju Air, Air Premia, Eastar Jet, T’way Air dan Cathay Pacific EVA Air. Sementara di Terminal 2 pula, Korean Air, Delta Air Lines, Jin Air dan Air Seoul.
Bagi membolehkan kemudahan Pas Pintar digunakan, pengguna perlu memuat turun aplikasi ICN Pas Pintar untuk mendaftarkan wajah dan pasport sekurang-kurangnya 30 minit sebelum digunakan.
Setiap maklumat biometrik yang telah didaftar sah untuk digunakan selama lima tahun. Ini kerana, difahamkan fizikal individu sama ada gaya rambut, berat badan atau paras rupa berpotensi berubah secara perlahan-lahan dalam tempoh waktu tersebut.

Walaupun menggunakan Pas Pintar penumpang tetap wajib membawa pasport dan pas masuk fizikal bersama untuk tujuan pemeriksaan imigresen.
Menarik mengenai manfaat teknologi tersebut, bukan sekadar bertindak pantas dan cekap tetapi pengguna Pas Pintar juga boleh menggunakan lorong khas agar proses menjadi lebih pantas di balai pelepasan.
Selain disediakan dalam bahasa Korea Selatan, pengguna juga boleh membuat pilihan sama ada Inggeris, Jepun atau Mandarin. Perkhidmatan pengecaman wajah ini terbuka kepada semua pengembara tanpa mengira kewarganegaraan.
Lapangan terbang itu menjangkakan teknologi berkenaan akan meningkatkan keselamatan penerbangan dengan ketara kerana maklumat biometrik manusia adalah unik untuk setiap individu, justeru sukar untuk dipalsukan dan digandakan.
Bagi seorang wakil kakitangan lapangan terbang yang dikenali sebagai Han, dia gembira dengan penggunaan Pas Pintar kerana memudahkan tugas pekerja dan menjimatkan masa.
“Teknologi tanpa sentuh ini bukan sekadar simbolik kepada perubahan masa sekarang tetapi menjadikan proses lebih bersih dan selamat kerana tidak perlu menyerahkan dokumen secara fizikal.
“Proses imbasan wajah hanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga saat sahaja, jauh lebih laju berbanding pemeriksaan manual oleh pegawai,” ujarnya di Korea Tech.
Menurut Tinjauan Penumpang Global (GPS) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 2022, 88 peratus daripada 10,000 responden menyatakan kepuasan dengan pengecaman biometrik lapangan terbang, manakala 75 peratus lebih suka proses pengenalan secara bersemuka berasaskan kertas.
IATA menganggap pengecaman biometrik dapat mengurangkan masa daftar masuk sebanyak 10 peratus dan masa menaiki pesawat sebanyak 40 peratus.















