SEREMBAN – Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai memandu secara melawan arus seperti yang tular dalam satu video di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, suspek berusia 34 tahun tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Menurutnya, wanita berkenaan yang tidak bekerja mengaku sebagai pemandu kenderaan jenis Honda CR-V berwarna perak dengan nombor pendaftaran WJE9551 seperti dalam rakaman video berdurasi hampir dua minit itu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku semalam kira-kira pukul 1.58 tengah hari di Jalan Persiaran Utama S2/1 berhampiran Aeon Seremban.
“Suspek telah ditahan bersama kenderaan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, suspek turut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seremban untuk ujian saringan air kencing, namun keputusan didapati negatif.














