PERCUTIAN saya ke Cebu, Filipina bermula dengan perjalanan yang agak panjang kerana ketika itu tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur.
Saya terpaksa transit di Manila sebelum meneruskan perjalanan ke Cebu menaiki Cebu Pacific.
Walaupun memenatkan, perjalanan ini membuka ruang kepada pengalaman yang cukup berharga sepanjang berada di sana.
Setibanya di Cebu, saya terus memulakan lawatan ke beberapa lokasi bersejarah sekitar bandar seperti Fort San Pedro, Basilica del Santo Niño, Magellan’s Cross dan Cebu Metropolitan Cathedral.
Kesemua lokasi ini terletak berdekatan dan mudah dilawati dalam tempoh sehari.
Namun begitu, cabaran utama sepanjang berada di Cebu adalah untuk mendapatkan makanan halal.
Saya banyak bergantung kepada Grab untuk membuat pesanan makanan dengan mencari pilihan halal, selain membawa makanan sedia dimakan sebagai langkah berjaga-jaga.
Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi perancangan harian saya di sana. Saya kemudian mendaftar masuk di Dragon Home Inn untuk berehat.
Hari kedua bermula seawal pukul 3 pagi apabila pemandu datang mengambil saya untuk ke Oslob bagi aktiviti melihat jerung paus (whale shark). Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam. Setiba di sana, segala urusan termasuk nombor giliran diuruskan oleh ejen.

Pengalaman melihat jerung paus dari dekat amat mengagumkan. Walaupun saiznya besar, ia tidak berbahaya.
Selepas itu, saya dibawa ke Tumalog Falls yang memerlukan perjalanan menaiki motosikal untuk sampai ke lokasi air terjun tersebut.
Selesai aktiviti, saya kembali ke Cebu sebelum menuju ke terminal bas untuk ke Moalboal. Dari sana, saya menaiki habal-habal ke penginapan di Garden Village Resort untuk dua malam.
Pada hari ketiga, saya menyertai aktiviti canyoneering di Kawasan Falls. Aktiviti bermula pada pukul 8 pagi dengan penyediaan kelengkapan serta taklimat keselamatan.
Setiap peserta diberikan seorang pemandu, sekali gus memudahkan pergerakan sepanjang aktiviti. Ia berakhir sekitar pukul 3 petang sebelum saya kembali ke hotel untuk berehat.
Hari keempat pula, saya ke Osmena Peak dengan menaiki habal-habal. Untuk mendaki ke puncak, saya perlu mendapatkan permit serta khidmat pemandu.

Walaupun pada awalnya pemandangan dilitupi kabus, keadaan menjadi jelas selepas kira-kira 15 minit.
Dalam perjalanan pulang, saya sempat singgah di Cambais Falls sebelum kembali ke hotel dan seterusnya ke Cebu untuk mendaftar masuk di The Pad Co-Living.
Pada hari terakhir, saya berlepas pulang ke Kuala Lumpur melalui Manila.
Semasa transit, saya sempat keluar dari lapangan terbang untuk ke Hard Rock Cafe Manila sebelum kembali semula ke lapangan terbang.
Secara keseluruhan, kos perjalanan saya merangkumi penerbangan RM738, penginapan RM312, pakej Oslob Whale Watching RM242, aktiviti canyoneering sekitar RM175, zipline sekitar RM50, pengangkutan sekitar RM205, tip dan pemandu sekitar RM45, makanan sekitar RM200 serta insurans sebanyak RM44.
Pengalaman ini bagi saya memberikan perspektif baharu tentang pengembaraan yang memerlukan perancangan rapi serta kesediaan menghadapi cabaran sepanjang perjalanan.















