fbpx
Bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dirampas APMM Perak di perairan Pangkor semalam. - Foto IHSAN APMM

APMM rampas 75.3 kg daun ketum seludup di perairan Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menggagalkan cubaan penyeludupan 75.3 kilogram (kg) daun ketum menerusi penahanan dua lelaki tempatan dalam satu operasi di perairan Pulau Pangkor di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bot ronda APMM digerakkan ke lokasi terbabit bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Pangkor mendapati bot tersebut dikendalikan dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 15 bungkusan beg plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dipercayai untuk edaran sekitar Pulau Pangkor,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sehubungan itu, kedua-dua suspek termasuk tekong berusia antara 32 hingga 46 tahun telah ditahan pihaknya termasuklah bot serta daun ketum seberat 75.3kg berkenaan.

Ujarnya, barang rampasan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000 dan dua individu berkenaan diiring ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN