fbpx
Keadaan Pantai Teluk Cempedak yang terhakis sehingga menghilangkan keindahannya.

Apa jadi dengan 10 pantai terkenal di Pahang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pahang dikurniakan jajaran pantai yang cantik sepanjang kira-kira 233 kilometer selain pantai-pantai indah di Pulau Tioman yang terkenal di seluruh dunia.

Antara pantai terkenal di Pahang ialah Cherating, Teluk Cempedak, Pantai Sepat, Pantai Tanjung Batu.

Namun keindahan pantai-pantai ini kian pudar akibat hakisan yang berlaku setiap masa sehingga ada yang bakal lenyap.

Kalau dilihat antara pantai yang sudah dikatakan lenyap adalah Pantai Tanjung Batu di Nenasi yang menyaksikan satu-satunya resort terkenal di peringkat antarabangsa iaitu Kekunang Tering Chalet telah menjadi sebahagian daripada lautan.

Begitu juga pantai-pantai lain seperti di Cherating apabila semakin terhakis sehingga menghampiri hotel-hotel dan resort berhampiran, selain keindahan dan kenikmatan mandi manda di Pantai Teluk Cempedak juga bagai telah hilang.

Situasi sama dilihat di pulau peranginan terkenal di dunia Pantai Mukut.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan berhubung isu hakisan pantai yang semakin kritikal di Pahang dan menyeru kerajaan memberi perhatian serius demi keselamatan dan kepentingan rakyat.

Pengarah Kanan Center for Disaster & Climate Change Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Ir. Dr. Mohamad Faizal Jamlus berkata, terdapat 10 pantai yang mengalami hakisan teruk iaitu di Cherating, Balok, Teluk Chempedak, Kempadang, Sepat dan Cherok Paloh.

Selain itu katanya, hakisan juga menjejaskan kawasan Tanjung Batu, Pekan, Rompin dan Tanjung Gemuk serta di Kampung Mukut Pulau Tioman.

Katanya, fenomena air pasang besar yang berlaku sepanjang tahun menjadi punca utama kejadian hakisan pantai di beberapa kawasan pesisir di negeri ini.

Jelasnya, keadaan Laut China Selatan yang berarus deras dan ombak besar terutama pada musim tengkujuh, November hingga Februari setiap tahun mempercepat kadar hakisan pantai di negeri ini.

Justeru itu tegasnya, langkah untuk mengawal hakisan ini tidak boleh ditangguh disebabkan hakisan sentiasa berlaku, kalau tidak kuat pun ia bersifat perlahan.

Bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan tuntas dilakukan termasuk di kawasan yang sudah teruk dilanda hakisan.

Usaha pemantauan dan kenyataan dikeluarkan hanya selepas isu dibangkitkan dan teguran dibuat Sultan Pahang, namun keadaan kembali seperti biasa selepas itu.

Projek mengatasi hakisan di Tanjung Batu yang bernilai jutaan ringgit juga seolah-olah gagal apabila hakisan di kawasan itu semakin teruk, menenggelamkan resort terkenal dan semakin menghampiri jalan raya, mungkin selepas ini jalan juga sebahagian laut.

Inilah hakikatnya yang terus berlaku, apabila ada teguran barulah pelbagai kenyataan dibuat tetapi pelaksanaannya masih ke laut.

Isu hakisan ini semakin tenggelam apabila pelbagai isu lain berbangkit seperti el-Nino, kebakaran hutan, isu masyarakat, isu politik timbul.

Mungkin apabila teguran dibuat Sultan sekali lagi, dan pantai-pantai telah lenyap baru isu ini akan dipandang semula.

Jadi biarkanlah sahaja pantai-pantai ini lenyap dan menjadi sejarah kepada anak cucu kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN