fbpx
Rakaman percakapan ke atas dua lagi suspek dijalankan, semalam.

17 individu disiasat sebar maklumat palsu harga bahan api, tarif elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berhubung kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di media sosial.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat ini sebanyak lapan rakaman percakapan suspek terlibat telah selesai dijalankan.

“Sebanyak lima kes melibatkan hantaran berunsur palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api. Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi selesai dirakam percakapan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, terdapat tiga lagi kes berkaitan tarif baharu elektrik, manakala sembilan suspek lain masih dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.

Jelas MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Penyebaran maklumat tidak sahih sedemikian boleh mencetuskan suasana panik dan kegelisahan dalam kalangan pengguna.

“MCMC tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN