NARATHIWAT, THAILAND – Ketua Hal Ehwal Keselamatan Daerah Chanae dan seorang wanita yang merupakan rakannya maut selepas dipercayai ditembak sebanyak 68 das dalam kejadian di Ban Sue, Mukim Dusongnyo, Daerah Chanae di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Monchai Jitkamolkarn, 30-an, dan rakannya, Haidah Buehraheng, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditembak menggunakan senjata api jenis raifal M16 dan AK47.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan dipercayai didalangi dua kumpulan bersenjata dengan taktik terancang apabila empat suspek bersembunyi di dalam dusun di tepi jalan manakala seorang lagi mengekori mangsa dengan motosikal.
Katanya, sebaik sahaja trak pikap dipandu Monchai berhenti di hadapan rumah Haidah, suspek terus melepaskan tembakan bertubi-tubi, menyebabkan kedua-dua mangsa maut.
“Pasukan pemusnah bom tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi untuk menjalankan siasatan. Pegawai Bahagian Sains Forensik Polis Wilayah Narathiwat turut memeriksa tempat kejadian.
“Mereka menjumpai sebuah pikap milik Monchai diletakkan di tepi jalan di hadapan rumah Haida. Trak itu dipenuhi lubang peluru di sisi kiri, kanan, dan belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber itu memberitahu, pasukan penyiasat menemukan 68 kelongsong peluru terpakai daripada empat jenis senjata berbeza.
Katanya, tiga kelongsong yang ditemukan melibatkan peluru 11mm, 17 kelongsong peluru 9mm, empat kelongsong peluru M16, dan 38 kelongsong peluru AK-47.
Menurutnya, bapa Haidah, Haseng Burahaeng memaklumkan bahawa Monchai mengambil anaknya kira-kira pukul 8 malam untuk urusan kerja sebelum menghantarnya pulang pada pukul 12.30 tengah malam dengan meletak trak pikap di depan rumah.
“Haseng memaklumkan dia mendengar tembakan tanpa henti selama hampir kira-kira lima minit. Selepas tembakan, berhenti dia keluar dan mendapati pikap berkenaan dipenuhi lubang peluru.
“Dia membuka pintu sebelum mendapati Monchai dan anaknya sudah meninggal dunia. Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Sumber itu juga berkata, siasatan mendapati sepucuk raifal M16 milik kerajaan yang disimpan di dalam trak pikap Monchai turut dilarikan dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














