TALLAHASSEE, FLORIDA – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) melancarkan roket Space Launch System (SLS) semalam bagi memulakan Misi Artemis II, menandakan penerbangan pertama ke orbit Bulan dalam tempoh lebih lima dekad, lapor agensi berita United Press International.
Roket SLS itu berlepas sekitar pukul 6.35 petang (waktu tempatan) dari Pusat Angkasa Kennedy di negeri Florida.
Misi selama 10 hari itu disertai empat kru iaitu tiga angkasawan NASA, Reid Wiseman, VIctor Glover dan Christina Koch, serta angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, Jeremy Hansen.
Keempat-empat kru dijangka memasuki orbit Bulan dalam masa enam hari.
Roket tersebut tidak akan melakukan pendaratan, sebaliknya mengelilingi Bulan sebelum kembali semula ke Bumi.
Selain menjadi penerbangan berawak pertama ke sekitar Bulan dalam tempoh lebih 50 tahun, Artemis II turut menandakan jarak terjauh dari Bumi yang pernah dilalui oleh manusia. – AGENSI














