KUALA NERANG – Hidup seorang wanita bertambah susah apabila bukan sahaja ditinggalkan suami dan kematian ibu, malah dua anaknya berusia lapan dan sembilan tahun tidak pernah ke sekolah akibat kesempitan hidup.
Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, berkata, dua anaknya, Muhamad Rizhan Rizqi dan adiknya, Muhammad Raiqal Rayyan yang sepatutnya berada di tahun dua dan tiga kini hanya menghabiskan masa di rumah.
Katanya, hidupnya menjadi sukar selepas kematian ibunya yang selama ini menjadi tempat bergantung, manakala suaminya pula menghilangkan diri sejak beberapa tahun lalu.
“Memang saya hendak sangat mereka ke sekolah tetapi hidup saya sangat sukar. Saya tidak pernah beritahu sesiapa masalah ini tetapi jika ada yang sudi bantu, saya sedia hantar mereka ke sekolah.
“Walaupun mereka belum pernah ke sekolah, saya berusaha mengajar mereka di rumah. Si sulung sudah boleh mengira, membaca abjad dan alif ba ta. Si adik agak takut bila cakap pasal sekolah tetapi saya yakin jika abangnya mula bersekolah, dia akan ikut,” katanya ketika ditemui di Taman Naka Jaya di sini semalam.
Menurut Siti Nur Jamilah, perniagaan kedai makan yang diusahakan di pekan Naka tidak lagi beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Tambahnya, dia sukar bekerja tetap kerana perlu menjaga seorang lagi anaknya, Nur Rifqa Hanania, 5.
“Saya hanya dapat upah bantu rakan berniaga. Duit itu saya buat belanja harian selain bantuan makanan daripada jiran-jiran,” katanya.
Ujar Siti Nur Jamilah, dia hanya menggunakan lilin kerana bekalan elektrik sudah lama terputus, manakala telefon pula dicaj menggunakan power bank yang telah dicaj di tempat lain terlebih dahulu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Siti Nur Jamilah di 157380019485.














