PRAGUE – Badi 20 tahun Republik Czech untuk beraksi di pentas Piala Dunia akhirnya menemui noktah selepas menewaskan Denmark menerusi penentuan penalti 3-1 dalam aksi dramatik final playoff zon Eropah, awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 selepas 120 minit dengan penjaga gol tuan rumah, Matej Kovar muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Anders Dreyer, manakala rembatan Mathias Jensen dan Rasmus Hojlund tidak menepati sasaran.
Kejayaan itu memastikan Rep. Czech kembali ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006, sekali gus berada dalam Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Korea Selatan dan tuan rumah, Mexico.
Ketua Jurulatih Republik Czech, Miroslav Koubek mengakui sukar untuk menggambarkan emosi apabila dapat menyingkirkan pasukan pilihan seperti Denmark.
“Saya hampir menitiskan air mata ketika dijulang oleh pemain selepas wisel penamat. Ini kejayaan terbesar buat pasukan dan juga karier saya secara peribadi,” katanya. – AGENSI














