SHAH ALAM – Kerajaan memerlukan lebih RM1.4 bilion bagi melaksanakan kerja konservasi hutan di seluruh negara dalam usaha memperkukuh pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah itu memerlukan sokongan kewangan daripada sektor swasta bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.
“Kita menjemput lebih banyak syarikat menyertai program ini supaya kerja pemuliharaan hutan dapat dilakukan secara menyeluruh. Kutipan dana ini tidak tertumpu kepada syarikat besar dan korporat sahaja, malah syarikat kecil juga dialu-alukan untuk bersama menyumbang kepada usaha ini,” katanya pada Program Pendanaan Konservasi Hutan di sini, hari ini.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan program hari ini.
Sementara itu, Arthur berkata, kerajaan turut menawarkan potongan cukai sebanyak 10 peratus kepada syarikat yang menyalurkan sumbangan bagi menyokong usaha konservasi hutan.
“Kementerian menyasarkan mobilisasi dana sebanyak dana sebanyak RM30.2 juta dengan 29 permohonan diterima daripada pelbagai syarikat di seluruh negara dan sembilan projek telah diluluskan. Projek yang dilaksanakan melibatkan pelbagai aspek termasuk persempadanan kawasan hutan, penanaman semula serta pemeliharaan sungai dan alam sekitar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














