fbpx
HOTEL Populus diangkat sebagai hotel pertama di Amerika Syarikat yang berstatus ‘carbon-positive’ yang bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon daripada penggunaan peralatan seperti pendingin hawa, pencahayaan, operasi dapur dan sebagainya, bahkan turut menyerap lebih banyak karbon daripada atmosfera.

Populus hotel berstatus ‘carbon-positive’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASPEK kelestarian merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan moden bagi membantu memastikan sumber semula jadi, alam sekitar, dan kesejahteraan generasi akan datang terpelihara.

Ia kini bukan sahaja diterapkan dalam kehidupan seharian tetapi juga menjadi antara teras utama dalam operasi pelancongan dunia.

Hal ini diterjemah oleh Hotel Populus yang muncul sebagai simbol baharu dalam industri hospitaliti global apabila diiktiraf sebagai hotel pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mencapai status ‘carbon-positive’.

Berbeza dengan konsep karbon neutral, hotel di Denver yang dibangunkan oleh Urban Villages itu bukan sekadar mengimbangi pelepasan karbon, malah berusaha menyerap lebih banyak karbon daripada jumlah karbon yang dilepaskannya sepanjang kitar hayat bangunan dan operasinya.

Menurut Presiden Urban Villages, Jon Buerge, pendekatan ini menjadikan Populus sebagai penanda aras baharu dalam pembangunan hotel lestari yang menggabungkan seni bina, teknologi dan pengurusan operasi secara holistik.

“Dari sudut reka bentuk, Populus dibangunkan dengan konsep biophilic iaitu pendekatan seni bina yang menghubungkan manusia dengan alam semula jadi.

“Bangunan 13 tingkat ini diinspirasikan daripada pokok aspen, lengkap dengan fasad unik menyerupai ‘mata’ pada kulit pokok tersebut,” katanya menerusi artikel di portal Hotel Management.

Tambahnya, reka bentuk ini bukan sekadar estetika, tetapi turut berfungsi meningkatkan kecekapan tenaga melalui pengawalan cahaya matahari dan pengurangan haba dalaman.

Di samping itu, penggunaan bahan binaan rendah karbon, bahan kitar semula serta teknik pembinaan efisien membantu mengurangkan ‘embodied carbon’ sejak peringkat awal pembangunan.

Dalam konteks kelestarian, konsep ‘carbon-positive’ merujuk kepada keadaan sesebuah bangunan atau organisasi berjaya menyerap lebih banyak karbon dioksida daripada jumlah yang dihasilkan atau dilepaskannya.

Ini berbeza dengan konsep ‘carbon neutral’ yang hanya menyeimbangkan jumlah pelepasan karbon melalui pengimbangan (offsetting).

Dalam pendekatan ‘carbon-positive’, matlamatnya lebih progresif iaitu memberi impak bersih yang positif kepada alam sekitar dengan mengurangkan karbon sedia ada di atmosfera.

“Pendekatan ini melibatkan gabungan strategi seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan pelepasan secara drastik serta pelaksanaan projek penyerapan karbon seperti penanaman pokok dan pemulihan ekosistem semula jadi.

“Dalam dunia perhotelan, konsep ini semakin relevan memandangkan industri hospitaliti secara tradisional mempunyai jejak karbon yang tinggi termasuk penggunaan tenaga untuk pendingin hawa, pencahayaan, operasi dapur serta penggunaan air dan pengurusan sisa,” kongsi Buerge.

Dengan mengadaptasi pendekatan ‘carbon-positive’, hotel bukan sahaja dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, malah berperanan sebagai agen pemulihan ekologi.

Ini boleh dilaksanakan melalui reka bentuk bangunan cekap tenaga, penggunaan sumber tempatan, pengurangan sisa makanan serta kerjasama dengan projek pemuliharaan alam sekitar.

Lebih penting, pendekatan ini juga selari dengan perubahan tingkah laku pelancong moden yang semakin mementingkan aspek kelestarian dalam memilih penginapan, sekali gus menjadikan ‘carbon-positive’ bukan sekadar tanggungjawab sosial tetapi juga satu kelebihan kompetitif dalam industri perhotelan global.

Kata Buerge lagi, salah satu aspek paling signifikan dalam strategi kelestarian Populus ialah penggunaan tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya. Hotel ini beroperasi menggunakan 100 peratus tenaga angin dan solar sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Dalam masa yang sama, sistem bangunan direka untuk memaksimumkan kecekapan tenaga melalui pengurangan penggunaan elektrik dan pengoptimuman pencahayaan semula jadi. Langkah ini membuktikan bahawa operasi hotel mewah tidak semestinya bercanggah dengan prinsip mesra alam,” ujarnya.

OPERASI hotel ini 100 peratus menggunakan tenaga solar dan angin.

Jelasnya lagi, selain tenaga, pengurusan sisa turut menjadi fokus utama. Populus mengaplikasikan sistem ‘zero waste dining’ dengan penggunaan teknologi biodigester yang mampu memproses 100 peratus sisa makanan menjadi kompos.

Kompos ini kemudian disalurkan kepada ladang tempatan, mewujudkan ekosistem kitaran tertutup daripada ‘farm to table and back to farm’.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, malah menyokong pertanian tempatan secara langsung.

Dari aspek rantaian bekalan makanan, restoran di hotel ini mengamalkan konsep sumber tempatan dan bermusim.

Kata Buerge , menu yang ditawarkan berasaskan bahan segar dari kawasan sekitar, sekali gus mengurangkan jejak karbon daripada pengangkutan makanan jarak jauh.

Pendekatan ini mencerminkan bagaimana kelestarian boleh diserap ke dalam pengalaman gastronomi tanpa menjejaskan kualiti atau kreativiti kulinari.

“Faktor paling membezakan Populus ialah strategi penyerapan karbon melalui inisiatif penanaman pokok secara besar-besaran.
“Hotel ini melaksanakan program reforestasi dengan menanam puluhan ribu pokok sebagai ‘carbon sink’ bagi menyerap karbon dioksida daripada atmosfera.

“Malah, bagi setiap tempahan bilik, sebatang pokok akan ditanam, menjadikan setiap penginapan pelanggan sebahagian daripada usaha pemulihan alam sekitar,” tuturnya.

Di samping itu, Populus turut melabur dalam kredit karbon yang diperakui bagi mengimbangi pelepasan karbon yang sukar dielakkan termasuk dari aspek pembinaan.

Pendekatan gabungan antara pengurangan, pengimbangan dan penyerapan karbon ini membolehkan hotel mencapai status ‘carbon-positive’ secara menyeluruh merangkumi operasi harian serta impak jangka panjang bangunan.

Reka bentuk operasi hotel juga menyokong mobiliti lestari. Ketiadaan parkir di tapak menggalakkan tetamu menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki sekali gus mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan.

Langkah ini mencerminkan pendekatan sistemik yang tidak hanya tertumpu kepada bangunan, tetapi juga gaya hidup pengguna.

Walaupun terdapat perbincangan dalam kalangan pakar tentang cabaran mengukur status ‘carbon-positive’ secara tepat, projek ini tetap dilihat sebagai eksperimen penting dalam industri.

Ia membuka ruang kepada inovasi baharu serta menetapkan standard lebih tinggi bagi pembangunan hartanah dan hospitaliti yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN