JAKARTA – Indonesia hari ini mengesahkan seorang anggota pasukan pengamannya terbunuh di Lubnan, selepas pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) menyatakan, peluru artileri mengenai salah satu posisi mereka.
Perang di Asia Barat merebak ke Lubnan awal bulan ini selepas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan bedilan roket ke Israel.
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) melaporkan, kedudukan mereka telah diserang lebih daripada sekali sejak pertempuran terbaru meletus.
Semalam, sebutir peluru meriam meletup berhampiran bandar Adchit Al Qusayr, membunuh seorang askar pengamannya, kata UNIFIL.
Menurut UNIFIL, pihaknya tidak mengetahui asal usul peluru tersebut tetapi telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti semua bentuk situasi.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Indonesia berkata ‘tembakan artileri tidak langsung’ berhampiran bandar Adchit al Qusayr membunuh salah seorang anggota pasukan pengamannya dan mencederakan tiga yang lain.
“Doa kami bersama keluarga yang berduka, dan kami mendoakan pemulihan penuh dan pantas kepada anggota tentera.
“Indonesia bekerjasama dengan UNIFIL untuk memastikan penghantaran pulang jenazah yang terkorban dengan segera dan rawatan perubatan yang terbaik untuk askar yang cedera,” tambahnya.
Jakarta mengutuk keras insiden itu dan menggesa siasatan, sambil menambah bahawa keselamatan dan keamanan pasukan pengaman PBB mesti dihormati ‘pada setiap masa’.
Adchit al Qusayr terletak berhampiran sempadan selatan Lebanon dengan Israel, di mana tentera Israel telah memerangi pejuang Hezbollah selama hampir sebulan.
Pada 7 Mac lalu, tiga askar Ghana cedera akibat tembakan meriam kereta kebal Israel di sebuah bandar sempadan di selatan Lebanon. – AFP













