BEIRUT – Seorang anggota misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) di Lubnan (UNIFIL) terbunuh apabila sebuah projektil meletup di salah satu kedudukannya berhampiran perkampungan Adchit Al-Qusayr di selatan Lubnan kelmarin, lapor laman berita Arab News.
Seorang lagi askar parah, kata UNIFIL dalam satu kenyataan semalam.
“Kami tidak tahu sumber projektil itu. Kami melancarkan siasatan untuk mengenal pasti semua keadaan,” kata UNIFIL.
UNIFIL ditempatkan di selatan Lubnan untuk memantau permusuhan di sepanjang garis sempadan dengan Israel. Lokasi itu menjadi pusat pertempuran tentera Israel dan pejuang Hezbollah yang disokong Iran.
Dalam melaksanakan misi yang akan berakhir pada hujung tahun ini, UNIFIL terperangkap dalam pertempuran antara Israel dan Hezbollah sejak beberapa tahun lalu. Insiden terbaru itu menekankan risiko tersebut.
Pada 6 Mac lalu pula, ibu pejabat batalion pengaman PBB di Lubnan menjadi sasaran serangan, menyebabkan dua askar Ghana cedera parah.
Tentera Israel mengaku tembakan kereta kebalnya mengenai kedudukan PBB di selatan Lubnan pada hari kejadian. – AGENSI













