PETALING JAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seramai 200,000 penerima baharu telah diluluskan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, MOF berkata, bantuan bagi kesemua penerima tersebut telah disalurkan mulai hari ini.
“Kerajaan Madani sentiasa memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan kepada anda dan keluarga,” kata MOF.
Mengulas lanjut, MOF memberitahu, orang ramai boleh menyemak dan mengemaskini status masing-masing di laman sesawang bantuantunai.hasil.gov.my. – KOSMO! ONLINE














