PETALING JAYA – Penganalisis JP Morgan, Rajiv Batra menjangkakan ekonomi Asia dijangka berdepan risiko tinggi sekiranya berlaku kejutan dalam sektor tenaga global.
Bagaimanapun kata beliau, hanya beberapa negara dilihat mampu bertahan lebih baik termasuk Malaysia dan China kerana mempunyai struktur tenaga serta kekuatan ekonomi yang lebih stabil berbanding negara lain di rantau ini.
“Kebanyakan negara Asia merupakan pengimport bersih tenaga dan sangat bergantung kepada bekalan luar.
“Situasi ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kenaikan harga global, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sesi temu bual bersama CNBC.
Menurut beliau, kejutan tenaga merujuk kepada peningkatan mendadak harga minyak dan gas atau gangguan bekalan yang lazimnya berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik.
Jelasnya, apabila kos tenaga meningkat, negara terlibat berdepan risiko defisit akaun semasa yang lebih tinggi, penyusutan nilai mata wang serta peningkatan kos sara hidup rakyat.
Mengulas lanjut, Rajiv Batra berkata, Malaysia dan China dilihat berada dalam kedudukan lebih stabil berbanding ekonomi Asia lain.
“Malaysia mempunyai beberapa penampan kukuh termasuk kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga.
“Selain itu, defisit fiskal negara berada pada tahap terkawal hasil dasar kerajaan yang berdisiplin, manakala kadar inflasi juga kekal sederhana,” ujarnya.
Tambah beliau, faktor tersebut bukan sahaja menyokong pasaran ekuiti, malah membantu menstabilkan nilai mata wang negara.
Pada masa sama katanya, China mempunyai kawalan lebih ketat terhadap sektor tenaga selain sumber domestik mencukupi termasuk arang batu dan tenaga alternatif.
Malaysia juga mempunyai kelebihan tersendiri sebagai antara pengeluar minyak dan gas di rantau ini, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga.
Justeru, Malaysia dan China dilihat mempunyai kelebihan untuk mengharungi cabaran tersebut dengan lebih baik berbanding negara lain di rantau ini. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














