SAJIAN cita rasa tradisional Melayu atau masakan kampung merupakan makanan signatur yang sentiasa menjadi pilihan buat rakyat tempatan dan pelancong luar.
Dengan variasi menu yang memikat selera, masakan kampung turut tampil dengan sentuhan kontemporari yang ditawarkan dalam suasana moden.
Antara restoran yang menawarkan aneka masakan cita rasa Melayu asli dan kontemporari adalah Cili Kampung.
Terletak di aras Terrace di Sunway Pyramid, Cili Kampung tampil sebagai destinasi kulinari yang mengangkat keaslian masakan kampung dalam suasana moden dan santai.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Cili Kampung, Anil Sharma, restoran ini menjadi pilihan ramai pencinta makanan tradisional Melayu yang merindui kampung halaman tetapi ingin menikmatinya dalam persekitaran yang lebih kontemporari.
“Dengan dekorasi yang bersih, ceria dan sentuhan elemen desa, Cili Kampung berjaya mewujudkan suasana makan yang selesa untuk seisi keluarga.
“Restoran ini menawarkan sajian melayu untuk makan tengah hingga makan malam,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di cawangan Cili Kampung Sunway Pyramid.
Tambahnya, antara hidangan yang paling mencuri perhatian di sini ialah masak lomak daging lembu yang dimasak menggunakan santan pekat dan rempah ratus terpilih.
Hidangan ini menampilkan daging yang lembut, diperap dengan sempurna dan dimasak sehingga kuahnya meresap ke dalam isi sehingga menghasilkan rasa lemak yang kaya serta sedikit pedas yang cukup membangkitkan selera.
Setiap suapan memberikan keseimbangan rasa tradisional yang mengingatkan kepada masakan Negeri Sembilan, sekali gus menjadi antara menu wajib cuba bagi pengunjung.
“Tidak kurang hebatnya sambal udang petai, satu lagi hidangan klasik yang digemari ramai. Udang segar dimasak bersama sambal pedas manis yang pekat, dipadankan dengan petai yang rangup dan beraroma kuat.
“Kombinasi ini menghasilkan satu profil rasa yang unik iaitu pedas, manis dan sedikit pahit dari petai, menjadikannya sangat sesuai dinikmati bersama nasi putih panas,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi penggemar hidangan berempah, menu ini pastinya tidak mengecewakan.

Sebagai pelengkap hidangan utama, terung goreng belacan dan telur dadar turut memainkan peranan penting dalam menyempurnakan pengalaman menikmati makan di sini.
Terung yang digoreng rangup di luar tetapi lembut di dalam disalut dengan sambal belacan yang harum, memberikan rasa masin dan pedas yang seimbang.
Sementara itu, telur dadar yang gebu dan dimasak dengan bawang serta cili menjadi pilihan ringkas tetapi memuaskan, sesuai untuk dinikmati bersama lauk-lauk lain.
Bagi penggemar hidangan ayam, restoran ini turut menyediakan ayam goreng berempah.
Ayam digoreng sehingga keemasan dengan salutan rempah yang wangi dan rangup, menghasilkan tekstur yang garing di luar dan berjus di dalam.
Aroma rempah yang menyelubungi hidangan ini pasti membuatkan sesiapa sahaja tidak sabar untuk menikmatinya sebaik sahaja dihidangkan.
Kongsi Anil lagi, selepas menikmati hidangan utama, pengunjung boleh memanjakan diri dengan pilihan manisan yang menarik.
“Onde-onde puding bakar merupakan inovasi moden kepada kuih tradisional, menggabungkan tekstur lembut puding dengan inti gula melaka yang manis dan aroma daun pandan.
“Selain itu, ais krim bukit kelapa menawarkan pengalaman pencuci mulut yang unik dengan gabungan ais krim lembut dan parutan kelapa yang menyegarkan, sesuai untuk mengimbangi rasa berat hidangan utama,” kongsinya.
Bagi melengkapkan pengalaman makan, pilihan minuman di sini juga cukup menyegarkan. Milo ais crunch memberikan sensasi minuman coklat yang kaya dengan tekstur ais kisar yang halus, manakala sirap pandan kenduri pula mengimbau nostalgia minuman majlis tradisional dengan rasa manis dan harum pandan.
Tidak ketinggalan, epal asam boi yang masam manis menjadi pilihan terbaik untuk menyegarkan tekak selepas menikmati hidangan berempah.
“Cili Kampung di Sunway Pyramid bukan sekadar tempat makan tetapi satu pengalaman yang membawa pengunjung menyelusuri cita rasa tradisional Melayu dalam suasana moden.
“Dengan variasi menu yang memikat selera serta lokasi yang strategik, restoran ini sememangnya wajar dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang ingin menikmati masakan kampung dengan sentuhan kontemporari,” tuturnya.














