PETALING JAYA – Niat asal seorang lelaki untuk mengemas bilik di rumah kampung berakhir dengan kejutan yang tidak disangka-sangka apabila dia menemui semula wang simpanan lamanya yang sudah terperap lebih sedekad.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna Ptrafaiiz.f, dia berkongsi sekeping foto menunjukkan sampul surat berisi timbunan wang kertas RM50 dan RM100 yang ditemuinya secara tidak sengaja.
“Kemas-kemas bilik dekat rumah kampung, tiba-tiba terjumpa duit simpanan zaman kerja pagi sampai ke malam semata-mata untuk kahwin,” katanya.
“Banyak juga ye aku simpan tapi sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi,” tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, faktor penghijrahan ke luar kota demi mencari kerja sejak 10 tahun lalu menjadi punca utama dia terlupa akan dana simpanan berkenaan.
Penemuan semula simpanan tersebut dianggap sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka selepas sekian lama dia meninggalkan kediaman asalnya di kampung.
“Lepas saya terpaksa merantau ke negeri orang untuk kerja, saya terlupa pasal simpanan ini. Alhamdulillah, tuhan pertemukan semula kami di bulan syawal yang mulia ini,” ujarnya.
“Macam mana orang simpan ribu-ribu macam ni boleh lupa? Aku RM5 dalam laci pun aku ingat,” kata Paejhvx.
“Tiba-tiba rasa nak kemas rumah hari ni, mana tahu ada sinar-sinar juga hihi,” tambah Prvtabbyy_ pula. – KOSMO! ONLINE














