fbpx
Anwar (kanan) ketika bertemu dengan Prabowo di Jakarta, Indonesia hari ini. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Konflik Asia Barat: Anwar, Prabowo sepakat pergiat usaha diplomasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mempergiat usaha diplomasi bersama Indonesia dalam mendepani konflik di Asia Barat yang semakin meruncing ketika ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau memaklumkan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini telah membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi menangani isu berkenaan.

Menurutnya, konflik yang berlarutan itu kini memberi tekanan kepada keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia, sekali gus menuntut tindakan bersama yang lebih tersusun di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua negara sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, di samping melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz tidak terjejas susulan ketegangan geopolitik tersebut.

“Saya turut maklumkan terkait interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.

“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” tegasnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Anwar tiba di Jakarta, Indonesia hari ini sempena lawatan khas bagi membincangkan perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat bersama Prabowo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN