JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah treler pengangkut jentera berat jenis Volvo di Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, di sini hari ini.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1, Iszahwati Supardi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada pukul 10.46 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran sebuah treler jenis Volvo tanpa muatan telah terbakar kira-kira 60 peratus di bahagian kepala lori.
“Semasa kejadian, pemandu treler berjaya menyelamatkan diri manakala anak lelakinya terperangkap di dalam kepala lori itu.
“Kanak-kanak tersebut disahkan rentung dan meninggal dunia dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan awal daripada orang awam memadam api menggunakan enam unit alat pemadam api jenis debu kering dan satu unit jengkaut membawa tanah.
Tambahnya, PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dari pam jentera sehingga api padam sepenuhnya.
“Setelah memastikan keadaan selamat, PKO lapor balik ke balai,” katanya operasi ditamatkan pada pukul 1.30 petang.-KOSMO! ONLINE














