PETALING JAYA – Seorang individu mendakwa telah menjadi mangsa penipuan wang kertas RM100 palsu yang tular di Threads baru-baru ini.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Threads oleh Bitcheu_, dia tidak menyedari bahawa duit itu adalah palsu kerana sedang sibuk melayan pelanggan dan terpaksa menanggung kerugian akibat kecuaian sendiri.
“Customer (pelanggan) bagi duit palsu tapi tak perasan sebab busy (sibuk),” katanya.
Menurutnya, warna wang tersebut kelihatan sedikit gelap, namun dia menyangka ia sekadar kotoran biasa.
Tekstur wang itu mula diragui apabila ia kelihatan seperti dua keping kertas yang ditampal terutama pada bahagian tepi.
“Saya sebenarnya perasan warna duit itu agak gelap sedikit sebelum terima tapi tapi mungkin kotor dan kedai sibuk dengan pelanggan pada waktu tersebut,” ujarnya.
“Selepas diperiksa semula, saya dapati tekstur kertasnya seolah-olah ditampal dua di bahagian tepi, malah warnanya juga kelihatan luntur akibat terkena air sebelum diserahkan kepada saya,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengguna turut memberi nasihat agar sentiasa mengambil masa untuk semak sebelum menerima bayaran terutamanya jika pecahan paling besar seperti RM100.
“Jika dpt duit RM100 sedikit atau banyak, ambil masa sedikit untuk berhenti dan semak. Memang ada sindiket yang target (menyasarkan) peniaga kecil,” kata K72a74 pula.
Akibat kecuaian itu, mangsa terpaksa menanggung sendiri kerugian dengan menggantikan semula nilai RM100 tersebut menggunakan wang sakunya sendiri kepada pihak syarikat. – KOSMO! ONLINE














