fbpx
Gambar hiasan.

Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing berkuat kuasa 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan penguatkuasaan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing berkuat kuasa 1 April 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.

Beliau berkata, peluasan penguatkuasaan itu akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing yang didapati melanggar peraturan berkenaan.

“Peluasan ini adalah pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini kesalahan hanya diletakkan kepada pengusaha stesen minyak.

“Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu adalah susulan daripada pembentangan yang dibuat di Parlimen pada 29 Januari lalu selaras dengan usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi bahan api.

Dalam pada itu, Armizan berkata, penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) khususnya di kawasan sempadan yang berisiko tinggi berlaku aktiviti penyeludupan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna kenderaan asing supaya mematuhi larangan tersebut.

Katanya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket atau pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan subsidi bahan api dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam masa sama, orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan bahan api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN