fbpx
DI Sungai Pulau Belacan, saiz ikan kekek yang dipancing semuanya kecil dan lebih sesuai dilepaskan kembali.

Kekek, ikan tradisi masyarakat Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKTI kewujudan ikan ini dalam kalangan masyarakat Melayu ialah adanya nama ikan ini dalam pantun lama tentang pasangan suami isteri bercanda, “Ikan kekek mak iloi-iloi, ikan gelama mak ilai-ilai; Dapat bini manjanya amboi, kalau ketawa mengilai-ngilai”   

Empat puluh tahun dahulu ketika masih bersekolah rendah, saya selalu mengikuti arwah abang memancing ikan kekek. Ketika itu saiz ikan kekek kasar sehingga lebih besar dari tapak tangan orang dewasa. Sungguh puas dimakan sekeluarga dengan rasa manisnya itu. 

Profil

Ikan kekek termasuk dalam famili Leiognathidae, ia juga dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ponyfish, slipmouth atau slimy. Ia hidup di habitat air masin dan boleh bertoleransi dengan air payau.  

Badan ikan ini pipih dan lebar, berwarna keperakan dan berkilat apabila kena biasan cahaya matahari. Ekornya bercabang dan disebabkan itu ia kuat melawan terutamanya jika dipancing dengan set pancing ultra-light. 

Ikan kekek tergolong dalam kumpulan omnivor. Mulutnya kecil dan akan terjuih keluar ketika ia mengutis makanannya di dasar yang berupa larva, cacing laut, plankton alga dan krustasea kecil seperti anak ketam dan udang. 

Apa yang unik tentang ikan ini, badannya kuat berlendir setiap kali ia dinaikkan ke darat. Apakah sebabnya, tidak dapat dipastikan, berkemungkinan lendirnya bertindak sebagai perisai semula jadi bagi menyelamatkan diri dari musuh. 

Apa yang pasti, lendir ini tidak berbahaya dan tidak menghasilkan rengsaan alergi apabila ia dimakan. 

MULUT ikan kekek akan terjulur ke hadapan sebegini ketika ia mencari makan di dasar.

Teknik pancing

Seperkara yang menarik tentang ikan ini, ia juga dapat dipancing dengan gewang saiz mikro seperti soft plastic dan minnow tetapi saya anggapnya sebagai tangkapan secara tidak sengaja (by catch).

Ikan kekek mudah ditemui sekitar tunggul-tunggul kayu yang tenggelam, celah-celah hamparan batu tambak dan di dalam sungai yang mempunyai struktur buatan seperti tiang jambatan dan jeti. 

Teknik yang paling disyorkan untuk mendapatkan ikan kekek ialah secara pancing dasar jika di kawasan yang dalam atau menggunakan pelampung jika berada di air yang cetek atau jika umpan hendak dihulurkan di celah-celah batu atau reba.

Batu ladung hidup saiz kecil bentuk bulat atau buah kana antara saiz satu hingga empat boleh digunakan untuk pancing dasar. Jika menggunakan pelampung saya lebih gemar guna saiz kecil asalkan ia masih boleh terapung sambil menampung berat umpan yang digunakan. 

Oleh kerana mulut ikan kekek ini kecil, saiz mata kail yang disarankan ialah antara nombor tujuh hingga 10. Umpan terbaik untuk memancing ikan kekek adalah udang segar yang telah dipotong dadu.

IKAN kekek yang dipancing di hamparan berbatu Tok Bali.

Tiga lokasi

Ada tiga tempat yang selalu saya turun untuk memancing ikan kekek ini di Kelantan. Pertama ialah di tambak berbatu di Tok Bali. 

Di sini pancingan berpelampung adalah terbaik berbanding pancing dasar kerana umpan boleh dihulurkan pada celah-celah batu tempat ikan kekek mencari makanan, risiko sangkutnya lebih rendah. 

Walaupun saiz ikan kekek di lokasi ini tidak besar, namun ia masih boleh lagi dibawa balik sebagai hidangan. 

Lokasi kedua yang menjadi kegemaran saya ialah di Sungai Pulau Belacan di Kota Bharu. Sungai ini terletak jauh dari kampung orang dan dinasihatkan supaya pemancing berteman supaya bantuan segera dapat diberikan jika berlaku kecemasan. 

Di sini, struktur lubuknya ialah kawasan kayu-kayu tenggelam. Gunakan pelampung atau pancing dasar, kedua-duanya boleh dilakukan mengikut keadaan tempat sama ada kuat bereba atau tidak. 

Saiz ikan kekek di sungai ini juga kecil sahaja mungkin akibat lampau tuai kesan dari aktiviti menjaring atau menjala. 

Sangkar tiram di dalam Sungai Kampung Madat di Pengkalan Chepa pula merupakan lokasi ketiga yang saya selalu kunjungi dan di sini kedua-dua pilihan teknik pancingan boleh digunakan mengikut kesukaan masing-masing. 

Istimewa di sini, saiz ikan kekek yang saya dapat adalah kasar dan amat sesuai dijadikan hidangan untuk sekeluarga. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN