PETALING JAYA – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut perayaan Aidilfitri bertukar tragedi apabila dapur mudah alih yang digunakan meletup ketika menyediakan juadah raya, baru-baru ini.
Menurut perkongsian di Thread oleh Aiman Razlyn, kejadian berlaku sewaktu dia sekeluarga sedang menyiapkan hidangan roti jala di dapur.
Ekoran kejadian itu, dia mengalami kecederaan patah dua jari kaki selain menerima lebih 15 jahitan dan melecur ringan. Isterinya mengalami kecederaan melecur di seluruh muka dan kedua-dua tangan.
“Anak perempuan saya melecur di kaki. Kami sekeluarga dalam proses pemulihan dari segi fizikal dan mental,” katanya.
Lebih menyedihkan, anaknya seolah-olah trauma apabila kerap bermimpi tentang kejadian tersebut, manakala isterinya juga berada dalam keadaan sedih.
“Sebagai ayah dan suami, sokongan moral dan kata-kata semangat untuk mereka harus diberikan. Walaupun saya juga trauma, terima kasih sahabat atas doa kalian untuk kami mengharungi dugaan mencabar ini,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna melahirkan rasa simpati dan mendoakan keluarga tersebut supaya segera sembuh daripada kecederaan yang dialami.
“Semoga diberikan kesembuhan fizikal mental secepat mungkin untuk awak sekeluarga, amin,” kata Wafiqah.
“Dulu pernah kena dekat ‘homestay’, pemilik sediakan, tengah masak tiba-tiba berapi dari bawah. Cepat-cepat tolak ke sinki kebetulan di sebelah, terus buka paip simbah air. Tapi bulu roma dekat lengan terbakar juga,” kongsi Incik Nan.
“Semoga lekas baik tuan. Saya dulu pun pernah meletup juga tapi alhamdulillah cuma melecur sikit saja, memang trauma sampai sekarang tak berani pakai (dapur mudah alih),” kata Vyusyah.- KOSMO! ONLINE














