PETALING JAYA – Pelawak dan usahawan tersentuh Shuib menerima duit raya daripada anak perempuan, Dzahira Talita Zahra yang disifatkan sebagai pemberian paling bermakna Syawal tahun ini.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, menyifatkan sikap pemurah anaknya yang baru menginjak 13 tahun seperti isterinya, Allahyarham Siti Sarah yang suka berkongsi rezeki.
“Kepada Ibu Siti Sarah, anak perempuan awak, Thalita bagi saya duit raya buat pertama kalinya.
“Umur dia baru 13 tahun tetapi sudah boleh bagi duit raya kepada keluarga. Memang hati yang sangat baik, macam awak,” tulisnya di Threads.
Pada masa sama, bapa kepada empat cahaya mata itu turut menzahirkan penghargaan buat isterinya, Watie Hanifiah yang mendidik semua permata hatinya mengenai amalan berkongsi rezeki.
“Ini semua hasil didikan mummy Watie juga. Pandai didik anak-anak tentang rezeki. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Selamat Hari Raya semua,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen ramai netizen memuji kematangan Thalita selain menjadikan keakraban Watie dan anak-anak tirinya sebagai contoh.
“Bagus Shuib, dalam memuji arwah isteri, puji juga Watie, alhamdulillah cara didikan yang baik,” kata seorang pemilik akaun Threads.
Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011 namun penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Selepas itu, Shuib berkahwin dengan usahawan, Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun 2023. – KOSMO! ONLINE














