PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini berada pada tahap stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat.
Menurut kenyataan media KKM hari ini, penilaian semasa mendapati kesan konflik tersebut terhadap bekalan ubat bagi jangka masa pendek adalah minimum.
“Paras stok ubat di fasiliti KKM kini berada antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada keperluan penggunaan.
“Ia turut disokong stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi,” kata kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan pemantauan bekalan ubat dilaksanakan secara berterusan menerusi mekanisme sedia ada, termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend laporan gangguan bekalan ubat-ubatan direkodkan.
Dalam masa sama, maklum balas industri farmaseutikal tempatan menunjukkan pengilang mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dan bekalan produk siap sekitar dua bulan.
“Pihak pengimport juga melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing bagi memastikan kelangsungan bekalan,” jelas kenyataan itu.
KKM menegaskan akan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah secara teliti serta mengambil langkah proaktif termasuk penubuhan pasukan khas melibatkan pemain industri dan pemegang taruh.
Langkah itu bertujuan memastikan keterjaminan bekalan ubat, khususnya yang berada di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML), sentiasa terpelihara.- KOSMO! ONLINE














