fbpx
Tasik Gubir yang menempatkan Empangan Muda. - Gambar hiasan

Cuaca panas: Tiga empangan MADA terus susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kedudukan paras air di tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus menurun dengan jumlah takungan hari ini direkodkan pada kadar 484,725 ekar kaki atau 39.63 peratus.

Menurut data di laman web rasmi MADA, Empangan Muda mencatatkan jumlah takungan paling rendah iaitu 10,550 ekar kaki (8.44 peratus), Empangan Pedu 352,480 ekar kaki (40.28 peratus), manakala Empangan Ahning 121,695 ekar kaki (54.57 peratus).

Pada 5 Februari lalu, paras takungan air ketiga-tiga empangan itu dilaporkan menurun kepada 47.81 peratus iaitu Empangan Muda 50,250 ekar kaki (40.2 peratus), Empangan Pedu 401,585 ekar kaki (45.9 peratus), dan Empangan Ahning 132,932 ekar kaki (59.61 peratus).

Sementara itu, Sungai Tebal di Kampung Lubuk Tualang, Sik, semakin kering ekoran cuaca panas berpanjangan sejak penghujung tahun lalu.

Keadaan itu menjejaskan kehidupan harian penduduk beberapa kampung di daerah itu yang bergantung kepada sumber air bukit kerana tidak mendapat bekalan air Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Seorang penduduk, Norfitriyatul Md. Tanziri, 46, berkata, dia terpaksa berjimat cermat dalam menggunakan air sejak bekalan terputus kelmarin.

Katanya, air simpanan hanya cukup untuk kegunaan asas seperti mandi dan mencuci pakaian, manakala air minum terpaksa dibeli.

“Banyak rumah terjejas dan aduan sudah dibuat kepada jawatankuasa bekalan air masyarakat. Ada pihak yang sudah pergi ke kawasan sumber air bukit untuk melihat punca bekalan terputus,” katanya.

Tambahnya, sambutan Aidilfitri sedikit terjejas akibat masalah bekalan air tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI