PETALING JAYA – Wang zakat fitrah yang dibayar oleh umat Islam dikatakan telah disamun, dalam kejadian didakwa berlaku di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah semalam.
Kejadian itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) serta dimuat naik seorang individu pada Facebook sekali gus tular di media sosial ketika ini.
Menerusi video CCTV itu, kelihatan seorang individu turun daripada motosikalnya dan dia masuk di bawah kawasan berbumbung di masjid tersebut yang mana terdapat seorang individu dipercayai amil di meja pembayaran zakat fitrah berkenaan.
Lelaki itu tanpa membuka topi keledar datang ke meja amil dan kemudian dia dilihat mengambil sesuatu dari meja tersebut serta terus berlari keluar ke motosikalnya dan bergegas meninggalkan tempat itu.
“Amil kena samun. Zakat fitrah pun orang rembat,” menurut kapsyen pada rakaman CCTV dimuat naik pengguna Facebook Ary Aery.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada pagi semalam, namun tiada maklumat lebih lanjut berhubung kes berkenaan dan tidak diketahui kerugian susulan kejadian itu.
Menerusi ruangan komen, orang ramai mengecam tindakan individu tersebut serta berharap dia segera ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Belum pernah berlaku lagi orang buat macam ni. Aku rasa ini pertama kali kot. Dah berapa lama dia perhatikan nak rembat duit zakat,” komen pengguna Facebook Dolah Doyet.
“Gambar ada, nombor plat pun nampak. Sekejap je tu polis tangkap penjahat tu,” kata Ahmad Nor Ismail.
“Bangsat punya penyamun. Kau nak lari ke mana? CCTV ada bukti tak sampai 24 jam, polis dapat tangkap. Selamat beraya dalam lokap,” komen Mohammad Sabri Shaari. – KOSMO! ONLINE














