BEIJING – Sebuah restoran di China terpaksa membuang 600 set pinggan mangkuk dan ditutup sementara waktu untuk melakukan pembasmian kuman selepas seorang pelanggan meletakkan anjing peliharaannya di atas kerusi, lapor portal berita VNExpress.
Kejadian berlaku di wilayah Henan baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di media sosial menunjukkan anjing itu duduk di atas kerusi dengan wajahnya berhampiran makanan.
Pengurus restoran dikenali sebagai Jiang memeriksa rakaman CCTV dan mengarahkan kakitangannya untuk membuang pinggan, mangkuk, penyepit serta cawan yang digunakan pada hari kejadian.
Jiang menambah, premis tersebut akan ditutup sementara untuk melakukan pembasmi kuman.
Pemilik haiwan itu tampil memohon maaf secara terbuka dan mengaku melanggar peraturan restoran. – AGENSI














