LONDON – Dua bekas pemain Tottenham Hotspur, Glenn Hoddle dan Peter Crouch berpendapat pasukan itu hilang keinginan ketika mereka terkandas pada saingan Liga Europa apabila tewas kepada Dinamo Zagreb dengan agregat 3-2 kelmarin.
Selain itu, kedua-dua mereka mengakui kegagalan itu akan menjadi titik tolak masa depan penyerang sensasi, Harry Kane untuk mencari jalan meninggalkan Spurs untuk mencari pasukan yang mampu memberinya trofi dan kejayaan.
“Terlalu ramai pemain yang tidak berada pada tahap terbaik pada aksi tersebut. Mereka hilang keinginan dan daya kepimpinan. Ia sangat memalukan, tiada apa yang kita mampu peroleh daripada Tottenham.
“Mereka perlu melihat kembali diri mereka sendiri. Tiada semangat, apa yang dipamerkan adalah rasa gugup. Mereka sudah tiada hati dan seperti tidak tahu bagaimana untuk bermain bola sepak,” kata Hoddle.
Sementara itu, Crouch berpendapat bahawa kejayaan menjulang trofi Piala Liga Inggeris pada perlawanan menentang Manchester City bulan depan juga tidak mampu untuk menyelamatkan Jose Mourinho.
“Mereka berada di perlawanan akhir tetapi saya tidak fikir peminat akan gembira jika mereka menjulang kejuaraan sekali pun. Spurs musim ini seperti berundur ke belakang berbanding musim sebelum ini,” jelasnya.
Crouch menolak untuk meneka mengenai nasib Mourinho sebaliknya mengakui bahawa Spurs bakal kehilangan Kane jika prestasi mereka terus berada di tahap ketika ini.
“Dia tidak sepatut beraksi dalam saingan ini. Kylian Mbappe, Erling Haaland, Lionel Messi, Robert Lewandowski, mereka berapa pada tahap sepatutnya. Kane kini berada di persimpangan kariernya, sudah sampai masa dia perlu berada pada tahap tertinggi ketika ini,” ujarnya. – AGENSI