KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut menunaikan solat ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta beberapa ahli kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Khutbah yang disampaikan oleh Imam Masjid, Muhammad Alif Fatihin Baharum antara lain menasihati masyarakat agar jangan memusnahkan suasana aman yang dinikmati negara demi kebaikan anak cucu masa hadapan
“Aidilfitri sepatutnya memupuk generasi muslim berjiwa besar, berfikir strategik, berakhlak tinggi, bersatu dalam prinsip kerana umat Islam yang bersatu akan menjadi kuat lalu tidak mudah dipermainkan,” katanya.
Selepas solat, Sultan Nazrin menziarahi pusara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Makam Diraja masjid berkenaan.
Jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda selepas solat. – KOSMO! ONLINE














