PETALING JAYA – Ketupat yang cepat basi ketika musim perayaan bukan semata-mata berpunca daripada cuaca panas, sebaliknya turut dipengaruhi cara penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan itu selepas dimasak.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), terdapat enam kesilapan biasa yang sering dilakukan ketika memasak ketupat hingga menyebabkan makanan tradisi itu mudah rosak sebelum sempat dinikmati hingga hari raya kedua.
“Antara kesilapan tersebut ialah penggunaan beras atau daun ketupat yang kurang elok, termasuk beras yang sudah hapak, daun yang kotor atau anyaman yang longgar sehingga menjejaskan kualiti ketupat sejak awal proses penyediaan.
“Selain itu, ketupat yang diisi terlalu padat juga boleh menyebabkan beras gagal masak sekata, sekali gus menjadikan bahagian dalam keras, lembap dan teksturnya kurang sempurna,” katanya.
PHM turut mengingatkan bahawa proses merebus perlu dilakukan dengan sempurna dan air rebusan mestilah meliputi ketupat sepenuhnya supaya ia benar-benar masak, bukan sekadar kelihatan masak pada bahagian luar.
“Di samping itu, ketupat yang selesai dimasak tidak sepatutnya terus dibiarkan lembap kerana lebihan air boleh mempercepatkan kerosakan makanan tersebut. Ia disaran ditoskan sebaiknya dan digantung seketika di tempat bersih serta berangin.
“Satu lagi kesilapan lazim ialah membiarkan ketupat terlalu lama pada suhu bilik. Ketupat yang sudah masak tidak wajar diletakkan di atas meja berjam-jam, sebaliknya perlu disejukkan dengan cepat jika mahu tahan lebih lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, PHM berkata, cara penyimpanan dan pemanasan semula yang tidak betul juga boleh menyebabkan ketupat cepat rosak.
Jelas PHM, lebihan ketupat disaran disimpan di dalam bekas atau bungkusan bersih sebelum dimasukkan ke dalam peti ais, manakala ketika hendak dimakan semula, ia perlu dikukus atau dipanaskan sehingga betul-betul panas dan tidak dipanaskan berulang kali.
“Sebagai panduan, ketupat yang diletakkan pada suhu bilik hanya sesuai bertahan maksimum empat jam, manakala dalam cuaca panas tempoh itu berkurangan kepada sekitar dua jam sahaja.
“Jika disimpan di dalam peti ais, ketupat disaran dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari, sementara pembekuan pula sesuai dilakukan jika mahu menyimpannya lebih lama,” katanya.
Menurut PHM, ketupat bukan sahaja perlu enak dimakan ketika sambutan Aidilfitri, malah perlu dijaga dengan kaedah yang betul bagi mengelakkan risiko kerosakan dan pembaziran.- KOSMO! ONLINE














