BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick menganggap kemenangan 7-2 pasukannya ke atas Newcastle United pada aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara, awal pagi semalam sesuatu yang ‘gila’ pernah dilakukan pemainnya.
Walaupun terpaksa mengharungi detik mendebarkan pada aksi 45 minit pertama apabila terikat 2-2 sebelum Flick mula lega pasukannya diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama dan ia disempurnakan oleh Lamine Yamal.
Selepas itu, drama pada babak kedua nyata berubah secara ketara apabila The Catalans menambah empat lagi gol untuk membolehkan Flick menjadi individu paling gembira apabila memacu pasukan layak ke suku akhir.
“Perlawanan yang ‘gila’. Saya fikir kami tidak begitu tajam semasa separuh masa pertama, namun ia berubah total pada 45 minit kedua apabila kami mula mampu mengawal bola dengan baik.
“Pada babak pertama, permainan kami terlalu mudah dibaca khususnya ketika melancarkan serangan dan adakalanya kami juga sering hilang penguasaan bola. Jaringan ketiga memberikan kami peluang untuk bersaing.
“Pasukan lawan mempunyai pemain yang laju dan bagus ketika melakukan transisi. Kami bercakap tentang mengawal pemain mereka di babak kedua,” katanya.
Pada perlawanan itu, Raphinha membuka tirai jaringan sebelum Pau Cubarsi dan Yamal meledak gol untuk babak pertama.
Babak kedua menyaksikan giliran Fermin Lopez menambah gol dan penggempur veteran, Robert Lewandowski menyumbang dua jaringan dan malam cemerlang Barcelona ditutup menerusi jaringan terakhir, Raphinha.
Di pentas suku akhir nanti, Barcelona akan dijadualkan menentang satu lagi kelab dari Sepanyol, Atletico Madrid yang mengesahkan kemaraan dengan turut menumbangkan kelab Inggeris, Tottenham Hotspur 7-5 secara agregat. AGENSI














