KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin Boon Long yang dikaitkan dengan dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pada masa ini siasatan terhadap kes dihadapinya masih diteruskan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Setakat ini kita menjalankan siasatan, kita dapati beberapa perkara perlu kita ambil tindakan berdasarkan undang-undang AMLA. Semua sedia maklum Victor Chin tidak berada di negara ini pada ketika ini, berada di luar negara.
“Jadi usaha sedang dijalankan untuk kita mendapatkan kerjasama daripada pihak-pihak berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu, PDRM mengesahkan serbuan dibuat di beberapa premis milik Victor, di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.
Serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu dibuat bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Antara yang dirampas ketika serbuan ialah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan mata wang asing, selain dokumen berkaitan siasatan.
Susulan itu, Victor menerusi kenyataannya, beliau menggesa PDRM memberi penjelasan berhubung serbuan ke atas beberapa premis miliknya.
Malah, beiau juga mempersoalkan tindakan itu biarpun memberi kerjasama penuh apabila pulang ke Kuala Lumpur untuk memberi keterangan, pada 29 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














