PETALING JAYA – Perjalanan pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan sememangnya mencabar, namun pengalaman seorang wanita memandu secara solo dari Cyberjaya ke Kelantan mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi hantaran di laman Threads oleh @Ikabhrddn, individu berkenaan memaklumkan dia memulakan perjalanan pada pukul 3 pagi dan hanya tiba sekitar 12.30 pagi keesokan hari.
“Solo drive Cyberjaya-Kelantan. 3am-12.30am, total 21 jam. Dari gelap pah ceroh pah gelap semula baru sampai,” katanya.
Perkongsian itu nyata mengundang perhatian ramai yang rata-rata turut berkongsi pengalaman hampir sama berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa, khususnya menuju ke Pantai Timur.
Seorang pengguna, @Nami.maruma berkata, situasi tersebut sememangnya ‘mimpi ngeri’ buat perantau dari Kelantan.
“Yang balik Kelantan memang menangis lah. Kawan saya dari Johor Bahru ke Kelantan pun sama,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, @Izwan, turut berkongsi pengalaman lebih 15 jam perjalanan dari Negeri Sembilan ke Pasir Mas.
“Saya kena 15 jam setengah, lima jam melekat di Gua Musang,” katanya.
Dalam pada itu, seorang netizen sempat berseloroh menyamakan tempoh perjalanan tersebut seperti perjalanan pulang ke luar negara.
“Ini balik Kelantan ke balik London ni, lama betul perjalanan,” kata @Ainunmaisarah.
Lebih mencuit hati, seorang individu yang mendakwa mengenali pemilik hantaran itu berkata, rakannya sebenarnya mempunyai pilihan untuk pulang lebih awal namun sengaja memilih waktu sesak.
“Untuk pengetahuan semua, dia ni dapat cuti awal tapi tak nak balik awal. Dia suka pengalaman sesak di jalan raya, saya tahu sebab saya kawan dia,” kata @Afzanamran. – KOSMO! ONLINE














