SAYA selalu singgah di sini sekadar meninjau aktiviti memancing yang sedang berlangsung, dan jika berkesempatan turut turun memancing untuk mencuba nasib.
Kadangkala, ada juga hasil tangkapan dan ada masa pulang kosong.
Namun bagi saya, dapat merehatkan minda dengan memancing sambil menikmati suasana tenang dan damai alam itu lebih utama.
Dalam salah satu persinggahan itu, saya pernah terserempak dengan seorang anak muda yang sedang khusyuk memancing.
Bukan kerana peralatan memancingnya yang canggih atau lagaknya bergaya, tetapi ketekunan serta hasil tangkapan diperolehnya membuatkan saya ingin berkenalan dengan lebih lanjut.
Pemancing tegar tersebut ialah Muhammad Afif Zunnurain Zahari, berumur 22 tahun.
Penuntut di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik ini sanggup berpanas, berhujan dan ‘bersabung’ nyamuk demi rentapan yang tidak ternilai.
Afif atau nama yang digunakannya dalam laman Facebook, Jackyy Angler ini mengakui, minat memancingnya bermula sejak bersekolah di tingkatan tiga lagi.
Bagaimana bermula
Awalnya, dia begitu tertarik dengan kepelbagaian jenis, bentuk dan warna gewang tiruan yang dibeli serta dikumpulnya sekadar untuk suka-suka.
Apabila ada ‘peralatan’, sudah tentulah ekspedisi memancingnya bermula dan akhirnya menjadi ketagih.
Ini membawanya menyusuri setiap lekuk sungai dan lorong muara untuk memburu rezeki alam yang memerlukan lebih daripada sekadar perasaan sabar.
“Lokasi memancing kegemaran saya semestinya di Muara Tok Bali yang saya anggap sebagai lubuk emas pemancing tegar.
“Saya lebih gemar teknik mengilat (casting) menggunakan gewang-gewang yang ada dalam koleksi saya, perasaan dapat ‘menipu’ ikan itu merupakan satu kejayaan memancing yang sentiasa melonjak dalam diri.
“Namun bergantung kepada keadaan, saya juga akan menggunakan umpan udang hidup, ia bukannya umpan picisan kerana udang itu bersaiz besar yang dibeli dengan harga sekitar RM0.80 hingga RM1 seekor.
“Ikan di sini memang gemar umpan udang hidup. Kalau kena timing dan arus yang cantik, siakap putih saiz kasar memang boleh dapat,” katanya yang pernah menaikkan ikan siakap putih seberat tujuh kilogram di lokasi kegemarannya itu.

Musim ikan
Selain siakap putih, Muara Tok Bali juga kaya dengan spesies ikan lain seperti senangin, siakap merah, kerapu, alu-alu, tetanda, gelama, gerut-gerut, bebaji, duri, sembilang, pari dan kuku.
Namun kehadiran pelbagai spesies ikan-ikan ini juga sebenarnya bergantung kepada musim dan keadaan air. Contohnya, ikan kuku boleh didapati ketika musim laut bergelora.
Bagi dirinya yang sentiasa memancing di lokasi Muara Tok Bali, dia sudah dapat ‘membaca’ musim ikan di situ.
Jadi pada hari-hari yang mendatang, lebih mudah baginya membuat rujukan ikan apa yang boleh menjadi sasaran setiap kali turun ke sana.
Perkara ini sangat penting supaya dia dapat bersedia dengan peralatan memancing dan gewang atau umpan yang bersesuaian agar masa tidak terbuang begitu sahaja.
Alternatif
Tambah Afif, kalau air laut pasang besar atau musim banjir, dia akan bertukar lokasi pancingan ke Terusan Semerak untuk memancing udang galah dan ikan patin pula.
Katanya, pemilihan set pancing bergantung kepada arus, cuaca dan jenis ikan.
Paling penting, jangan menjadi gelojoh, ‘sabar’ merupakan kunci utama untuk apa-apa aktiviti memancing sekalipun
“Bukan set pancing mahal yang menentukan hasil tangkapan, tetapi kemahiran pemancing itu paling utama.
“Pemancing yang tahu ‘bermain’ akan lebih berjaya daripada yang sekadar lempar umpan dan tunggu,” katanya penuh makna.
Menurutnya, kalau ada rezeki, dua ke tiga jam memancing pun sudah cukup untuk mendapatkan antara lima hingga tujuh ekor ikan kerapu di sekitar tambak berbatu di Tok Bali.
Namun menurutnya, ikan siakap putih tetap menjadi ‘trofi’ setiap pemancing yang hadir di Tok Bali kerana sifat ikan tersebut pemalu dan perlu dipujuk, tetapi amat tangkas setiap kali mata kail membenam mulutnya.
Afif tidak pernah menjual hasil tangkapannya, walaupun dapat dalam jumlah yang banyak.
“Saya memancing untuk ketenangan jiwa, kalau dapat ikan, masak dengan keluarga atau dibakar bersama geng sehobi. Itu lebih nikmat daripada wang ringgit.
“Semua ini bagaikan ‘candu’ yang membuatkan saya setia dengan dunia memancing.
“Saya tidak akan melepaskan peluang pada hujung minggu atau cuti semester untuk memancing,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh.
Afif juga merupakan pengumpul gewang tegar sejak zaman sekolah hingga kini.
Koleksi gewangnya sudah ‘membiak’, bukan hanya sebagai umpan, malah menjadi lambang cintanya terhadap dunia pancing.
















