PETALING JAYA – Sikap masyarakat yang mudah tersentuh dan terdorong untuk bersedekah khususnya apabila dikaitkan dengan ganjaran pahala, dikenal pasti antara faktor utama peningkatan kutipan infak di negara ini.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, trend ‘slot infak’ di bazar Ramadan dan jualan tepi jalan kini mula mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurutnya, situasi itu dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas dasar agama.
Katanya, elemen pahala dan keikhlasan menyebabkan orang ramai cenderung untuk tidak berfikir panjang sebelum menghulurkan sumbangan.
“Namun, keadaan menjadi membimbangkan apabila kutipan tersebut dilihat menunggang agama, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada wang infak benar-benar disalurkan seperti yang didakwa,” katanya.
Beliau berkata, perbuatan itu boleh disifatkan sebagai penyelewengan dan perlu dibanteras kerana melibatkan pihak tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, terdapat individu yang dipercayai mampu menjalani kehidupan mewah hasil daripada kutipan infak yang disalahgunakan.
Terdahulu, netizen mempersoalkan kaedah kutipan secara siaran langsung di media sosial yang menggunakan kod QR kononnya menggalakan orang ramai berinfak dengan membeli makanan untuk diberikan kepada kumpulan tertentu.
Bagaimanapun, ada pihak mendakwa tindakan itu yang dilakukan hampir setiap hari hanyalah semata-mata sebagai taktik untuk peniaga menghabiskan makanan mereka.














