fbpx
Zulkifli (kanan) pada sidang akhbar Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto oleh M FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

Konflik Asia Barat: TH tubuh jawatankuasa khas pantau situasi semasa haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau isu keselamatan serta sebarang perkembangan yang berpotensi memberi kesan kepada urusan ibadah haji, termasuk aspek kos dan penerbangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata jawatankuasa berkenaan telah ditubuhkan lebih awal dan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, bagi mengkaji perkara-perkara yang berbangkit dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pemantauan dibuat secara berterusan susulan situasi semasa yang memerlukan penelitian rapi, terutama membabitkan faktor keselamatan, pengurusan perjalanan serta kos operasi haji.

“Apa yang boleh dimaklumkan, insya Allah TH mempunyai satu pasukan yang sudah bersedia untuk mendepani isu-isu berbangkit.

“Kita memantau dari masa ke semasa dan yang lebih penting sekarang adalah TH sudah mempunyai persiapan yang komprehensif dengan perbincangan yang dijalankan secara berterusan. Kita berdoa agar keadaan kekal tenang dan segala urusan haji dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan Tabubg Haji 2025, di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihak TH turut menerima maklumat dan perkembangan terkini daripada kerajaan Arab Saudi, kerajaan Malaysia selain mengadakan perbincangan bersama syarikat-syarikat penerbangan.

Jelas beliau, semua faktor itu diambil kira bagi memastikan pengurusan haji dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa menjejaskan kebajikan jemaah.

“Penerbangan jemaah pertama adalah pada 18 April depan, sama-sama kita doakan situasi menjadi lebih tenang dan urusan para jemaah untuk menunaikan haji dipermudahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI