PUTRAJAYA- Seramai 200 orang anak-anak yatim serta kanak-kanak istimewa daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) diraikan dalam satu majlis iftar anjuran Putrajaya Leisures & Services Group Sdn. Bhd. (PULSE Group).
Program itu merupakan inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam usaha menyantuni dan meraikan golongan yang memerlukan sebagai satu semangat kebersamaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PULSE Group, Rahim Md. Junoh, Majlis Amal Iftar itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) merupakan manifestasi komitmen syarikat dalam memperkukuhkan nilai kemanusiaan serta semangat kebersamaan dalam masyarakat.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim dan anak-anak kurang upaya, khususnya dalam meraikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan”, katanya hari ini.
Kanak-kanak yang diraikan merupakan pelajar PPKI daripada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) dan Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran, serta anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim Miskin Rukaiyah.
Majlis ini turut mendapat sokongan lebih daripada 20 syarikat korporat dan rakan niaga yang tampil sebagai rakan penaja strategik melalui penajaan meja iftar.
Katanya, penajaan ini seterusnya disumbangkan kepada sekolah serta rumah anak yatim yang terlibat, selain merangkumi sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban golongan penerima. – KOSMO! ONLINE














