OLAHRAGA Malaysia (MA) sedang giat memburu ketua jurulatih pecut antarabangsa bertaraf dunia sebagai persiapan awal sekiranya jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, membuat keputusan kembali berlatih di tanah air selepas menamatkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, langkah proaktif itu penting bagi memastikan atlet elit negara terus menerima bimbingan berkualiti tinggi selari dengan tahap prestasi antarabangsa mereka.
Menurutnya, pelantikan jurulatih berpengalaman yang pernah melahirkan juara dunia kini menjadi keutamaan badan induk itu, meskipun Azeem masih belum membuat keputusan mengenai hala tujunya selepas tamat pengajian di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat pada Disember nanti.
“Persiapan kita adalah untuk memastikan jika Azeem kembali ke tanah air, dia dapat berlatih di bawah kendalian jurulatih yang sesuai dengan tahapnya. Kita sedang melihat kepada kepakaran jurulatih antarabangsa bagi acara pecut.
“Ketika ini, Azeem masih meneruskan pelajarannya di Amerika Syarikat dan dia belum kongsikan sebarang peracangannya selepas tamat pengajiannya di sana. di pihak MA, kita buat persiapan terbaik untuk melantik jurulatih pecut dari luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, Nurhayati menegaskan bahawa perancangan membawa masuk ketua jurulatih baharu tidak hanya tertumpu kepada Azeem semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembangunan keseluruhan skuad pecut negara termasuk ratu pecut negara, Shereen Samson Vallabouy.
“Perancangan kita adalah untuk membawa masuk jurulatih antarabangsa dan tugas utama jurulatih itu bukan menjaga Azeem tetapi turut melatih Shereen serta pelari pecut yang lain,” katanya.
Setakat ini, MA mendedahkan perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa calon dari negara kuasa besar olahraga dunia seperti Botswana, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat yang memiliki rekod melahirkan juara dunia.














