IPOH – Bekalan barangan keperluan asas termasuk ayam dan daging dijamin mencukupi bagi memenuhi keperluan Aidilfitri di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pengeluaran semasa ayam di Perak dianggarkan sekitar 10 hingga 12 juta ekor sebulan dan jumlah tersebut mencukupi untuk menampung keperluan pengguna termasuk peningkatan permintaan semasa musim perayaan.
“Bagi bekalan daging lembu dan kerbau, bekalan adalah stabil melalui gabungan sumber pengeluaran tempatan dan bekalan import yang dianggarkan sekitar 360 hingga 400 tan metrik sebulan. Begitu juga untuk bekalan telur ayam, pengeluaran dianggarkan sekitar 140 hingga 160 juta biji sebulan. Bekalan tersebut diagihkan berterusan ke pasaran untuk memenuhi keperluan pengguna di seluruh negeri,” katanya selepas mengadakan pemantauan harga barangan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, di sini hari ini.
Mohd, Zolkafly berkata, berdasarkan pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) Perak dan agensi berkaitan, sektor pengeluaran ternakan di negeri ini dalam keadaan baik dan mampu menampung peningkatan permintaan yang berlaku menjelang musim perayaan. – KOSMO! ONLINE














