PETALING JAYA – Al-Quran perlu dijadikan asas dalam membina generasi yang berilmu, berakhlak dan berintegriti bagi membentuk masyarakat yang lebih sejahtera.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha memartabatkan al-Quran penting dalam melahirkan masyarakat yang menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
“Inisiatif itu mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa yang akan disumbangkan kepada komuniti Muslim di luar negara,” jelas Mohamad.
Tambah Mohamad, usaha tersebut amat bermakna kerana al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu difahami dan dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
“Semoga usaha ini dapat menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda sekali gus membentuk masyarakat yang lebih sejahtera dan berakhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turut serta dalam Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nasyrul Quran yang dihadiri Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan satu kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta al-Quran. – KOSMO! ONLINE.














