PETALING JAYA – Seorang pembeli yang membeli bampar (bumper) kereta secara dalam talian di saat kesibukan dihadapi syarikat kurier ketika ini susulan lambakan bungkusan perlu dihantar menjelang sambutan Aidilfitri, mengundang lawak jenaka pengguna media sosial.
Menerusi hantaran dikongsikan seorang penghantar barangan sebuah syarikat kurier pada TikTok Hisyam_9189, dia memuat naik gambar perlu menghantar bampar tersebut dengan kapsyen berseloroh.
“Dia mari dengan bumper kereta pula dah. Patut lah baju raya sangkut. Sempat cat tak bang oi, raya dekat dah ni,” katanya bergurau pada kapyen berkenaan.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas, malah ada yang meninggalkan komen gurauan selain ada juga berkongsi turut membeli barangan yang boleh dibeli di kedai fizikal, namun tetap membelinya secara dalam talian.
“Aku beli sekam padi 10 kilogram, tengok kurier tu bawa, seguni wei. Maaf lah, aku pun tak sangka seguni besar,” komen Tiazackry.
“Entahlah, aku dah cakap banyak barang terkandas. Laki aku nak juga order (beli) kuaci. Entah bilalah sampai,” komen pengguna TikTok Cik Su Anna.
“Bang, hantar bulu mata saya dulu. Tak pernah sesakit ini kumenunggu,” komen seorang pengguna TikTok Naa.
“Bang, jangan lupa hantar kuku palsu saya,” kata Markisaqardina.
“Hantar sembur tudung saya dulu bang. Tak keras bucu tudung, kemurungan pagi raya nanti,” kata Hazelnaut Latte.
“Hantar daun palas ibu saya dulu bang. Bising dah tu, nak menganyam ketupat takut raya terkejut lagi. Lepas tu sekali saya kena anyam dengan ibu,” komen Jwzna. – KOSMO! ONLINE














