fbpx
Gambar Hiasan

Majikan perlu pertimbang pemberian cuti tambahan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyeru majikan mempertimbangkan pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja selaras pemberian cuti tambahan sempena Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri semalam.

Kesuma menerusi kenyataannya, pemberian kelonggaran cuti itu sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

“Cuti tambahan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.
“Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini merupakan hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada Seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265],” menurut Kesuma.

Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

“Majikan hendaklah memaklumkan kepada pekerja berhubung pengaturan cuti tambahan tersebut sama ada diberikan pada tarikh diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.

“Sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, pekerja tersebut layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955,” kata Kesuma.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sekiranya Aidilfitri jatuh pada Jumaat (20 Mac), kerajaan akan mengisytiharkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti umum tambahan, atau cuti tambahan pada Jumaat (20 Mac) jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu.

Sementara itu, Kesuma berharap langkah pemberian kelonggaran cuti itu diharap dapat memberi ruang kepada pekerja untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, kesejahteraan dan keharmonian bersama keluarga.

“Pemberian kelonggaran cuti oleh majikan akan membantu memastikan pekerja dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan.

“Kesuma menggalakkan majikan untuk mempertimbang pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan progresif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN