fbpx
Kapal pemusnah kelas Murasame milik Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JSDF) bersedia untuk berlabuh di pelabuhan di Teluk Manila, Filipina pada 8 April 2025. - AFP

Jepun pertimbang hantar kapal perang ke Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Seorang penasihat dasar kanan Jepun berkata hari ini bahawa kebarangkalian adalah ‘sangat tinggi’ untuk Tokyo menghantar kapal perangnya bagi membantu melindungi laluan perkapalan minyak di Asia Barat, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyeru negara-negara lain untuk berbuat demikian.

Dua minggu selepas AS dan Israel menyerang Iran, rantau Teluk kekal dalam cengkaman konflik, menyebabkan harga minyak melonjak apabila Iran menyekat Selat Hormuz yang penting dan menyerang kemudahan tenaga Teluk.

Selepas sebelum ini berikrar bahawa Tentera Laut AS akan mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz tidak lama lagi, Trump meminta bantuan daripada negara-negara termasuk Jepun semalam.

Ekonomi nombor empat dunia itu merupakan pengimport minyak kelima terbesar, dengan 95 peratus daripadanya dari Asia Barat, manakala 70 peratus melalui Selat Hormuz yang kini ditutup secara efektif.

“Saya menganggap kebarangkalian sebagai sangat tinggi untuk menghantar kapal tentera laut Jepun ke rantau itu di bawah undang-undang Jepun sedia ada,” kata Takayuki Kobayashi.

Beliau merupakan ketua dasar Parti Liberal Demokrat (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Sanae Takaichi.

“Dari segi undang-undang, kami tidak menolak kemungkinan itu, tetapi memandangkan situasi semasa di mana konflik ini berterusan, saya percaya ia adalah sesuatu yang mesti dipertimbangkan dengan berhati-hati,” katanya.

Minggu lalu, Takaichi berkata pada sesi parlimen: “Tiada apa yang telah diputuskan, sama ada untuk menghantar kapal perang Jepun ke Asia Barat untuk mengiringi kapal tangki.”

Takaichi dijangka melawat Washington minggu ini untuk mengadakan rundingan dengan Trump, di mana pelbagai isu termasuk keselamatan di rantau Asia Pasifik serta perang Iran, berkemungkinan besar akan dibincangkan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI