fbpx
AEDY mengakui pengakuan jujur itu sebagai pengajaran kepada anak muda lain. - SYAKIR RADIN

‘Tak menyesal, itu langkah terbaik pernah saya buat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon Aedy Ashraf mengakui tidak menyesal mendedahkan sisi gelap zaman remaja, sebaliknya lega selepas berkongsi pengalaman silam secara terbuka.

Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, berkata, dia membuat pengakuan jujur itu sebagai pengajaran kepada anak muda lain agar cepat bertindak sebelum terlambat.

“Saya lega apabila menceritakan pengalaman lalu dengan seorang susuk yang saya rasa macam ayah sendiri (Datuk Aznil Nawawi) sebab sentiasa ada di televisyen sejak saya kecil sampai saya besar.

“Jadi sangat selesa dan dia sangat menyokong. Saya rasa lega, tak menyesal dan itu langkah terbaik yang pernah saya buat,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon filem Tarung: Unforgiven di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, Aedy mendedahkan menerima banyak mesej peribadi daripada orang ramai yang berterima kasih selepas mendengar pendedahan itu.

“Setiap kali saya buka DM (mesej peribadi), ramai berterima kasih kepada saya. Rupa-rupanya ramai juga melalui situasi sama tetapi mereka rasa keseorangan.

“Jadi apabila mereka dengar cerita saya, mereka tahu yang mereka tidak sendirian selain saya harap kisah saya memberi sedikit cahaya atau harapan walau betapa perit pun hidup kalian sekarang, itu akan berakhir,” ujarnya.

Mengulas kritikan segelintir pihak yang menganggap pendedahan tersebut seperti membuka aib sendiri, Aedy menegaskan dia juga sudah menerima hukuman atas kekhilafan lampau.

“Saya pernah kena tangkap dengan pihak berkuasa dan saya jalani apa yang sepatutnya saya lalui. Sebab itu saya ceritakan sekarang supaya orang lain tidak mengulangi kesilapan sama.

“Kadang-kadang bila kita muda, kita ikut perasaan. Jadi saya minta orang lain ambil ikhtibar,” katanya.

Sebelum ini, Aedy berkongsi mengenai sisi gelapnya ketika remaja apabila terlibat dengan kegiatan negatif termasuk dadah, kelab malam dan samun menerusi sesi temu bual audio Kita-Kita Aje! bersama Aznil yang dimuat naik di YouTube.

Sementara itu, mengenai Tarung: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini, Aedy juga merupakan penerbit selain memegang watak utama.

Selain Aedy, filem arahan Razaisyam Rashid itu menampilkan Bront Palarae, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

Tarung: Unforgiven terbitan Alpha47 Films mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi selain terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI