TEL AVIV – Israel dijangka mengadakan rundingan langsung pertama dengan Lubnan dalam beberapa hari akan datang sejak tercetusnya perang Iran, yang mengheret negara itu ke dalam konflik semakin mendalam, lapor akhbar Arab News.
Menantu lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Jared Kushner akan terlibat dalam rundingan yang bakal diadakan di Paris atau Cyprus.
Pembantu rapat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Ron Dermer akan mengetuai delegasi Israel, lapor akhbar Haaretz semalam.
Rundingan tersebut akan menumpukan usaha untuk menamatkan pertempuran di Lubnan dan melucutkan senjata kumpulan Hezbollah, demikian menurut akhbar Haaretz.
Hezbollah berkata, serangan ke atas Israel pada 2 Mac lalu merupakan tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang berlaku pada permulaan perang AS-Israel.
Israel telah melancarkan kempen pengeboman secara meluas terhadap Hezbollah yang membunuh lebih 770 orang dan menyebabkan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal, manakala Hezbollah melepaskan ratusan roket merentasi sempadan. – AGENSI














