PETALING JAYA -“Berdosakah kalau saya menyesal dulu jaga suami sakit buah pinggang tahap lima. Saya (juga) derma sebelah buah pinggang saya.”
Itu antara persoalan seorang wanita yang meluahkan rasa kesal pernah menjaga suaminya, malah sanggup mendermakan sebelah buah pinggang bagi memastikan lelaki itu sembuh.
Wanita itu turut di media sosial mendedahkan, menyesal berdoa supaya lelaki itu sembuh semuanya gara-gara suaminya dalam diam bercinta dengan perempuan lain selepas sihat sepenuhnya.
“Saya jaga dia siang malam. Berdosakah saya menyesal bangun tahajud dan doa di malam Ramadan untuk kesembuhan dia dan apabila sembuh sepenuhnya, dia sekarang diam-diam bercinta dengan budak MySTEP dekat ofis dia.
“Lepas tu budak tu mengandung. Dia kata izin atau tidak, dia akan teruskan menikah. Agak-agak kau orang, apa aku patut buat? Berdosakah saya untuk menyesal segala pengorbanan saya,” dedah wanita itu di media sosial.
Dia meluahkan lagi, dirinya tidak akan berdoa untuk kesembuhan lelaki itu sekiranya tahu akan diperlakukan sedemikian.
“Kalaulah saya tahu pengakhiran dia buat macam ni, saya tak akan doa supaya dia cepat sembuh. Saya betul-betul doa bersungguh-sungguh di malam Ramadan dan tak sangka Allah makbulkan segala doa saya pada tahun tu juga. Kalau saya doa untuk tarik balik doa tu, boleh ke,” soalnya lagi.
Hantaran itu meraih pelbagai respons di ruangan komen yang rata-rata memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada wanita itu.
“Sebab tu perempuan, tak payah sayang laki melebih sangat. Sayang diri sendiri dulu,” komen @Lien.
“Biar Yang Maha Membalas bantu. Teruskan berdoa dan merintih pada Dia,” ujar @Cikpah.
“Sebenarnya Allah nak tunjuk siapa suami awak sebenarnya. Tak perlu menyesal, Allah nak bagi yang lebih baik daripada yang sekarang,” kata @Nanieysurianiey. – KOSMO! ONLINE














