KUALA LUMPUR – Seorang penyelia sebuah premis serbaneka di Desa Setapak berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sini, awal pagi Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.59 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun didatangi dua suspek yang memakai pelitup muka hitam serta topi keledar sebelum mengugut mangsa supaya menyerahkan wang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.43 pagi Selasa.
“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,467.50 kepada suspek.
“Kedua-dua suspek turut melarikan dua telefon bimbit iaitu iPhone 15 milik mangsa dan Redmi 15 milik seorang lagi pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM6,067.50.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dengan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE














